Akademi Quran Ar Rayyan

3 Tips Didik Anak Cinta Al-Quran

3 tips didik anak minat al-quran

Hujung minggu ini AQAR nak berkongsi sedikit kepada ibu-bapa diluar sana 3 Tips Didik Anak Cinta Al-Quran. Jom kita sama-sama baca!

Ketahuilah bahawa kitab Al-Quran diturunkan sebagai panduan untuk seluruh ummat. Bahkan Al-Quran lah yang menjadi petunjuk buat orang-orang yang bertakwa.

ذَٰلِكَ ٱلْكِتَـٰبُ لَا رَيْبَ ۛ فِيهِ ۛ هُدًۭى لِّلْمُتَّقِينَ ٢

Kitab Al-Quran ini, tidak ada sebarang syak padanya (tentang datangnya dari Allah dan tentang sempurnanya); ia pula menjadi petunjuk bagi orang-orang yang (hendak) bertaqwa; (Al Baqarah: Ayat 2)

Ibu Bapa Mestilah Rajin Mengaji Al Quran Di Hadapan Anak-Anak

Ini adalah perkara pertama yang paling penting sekali. Ramai ibu dan ayah terlepas pandang menghantar anak-anak pergi mengaji dengan mengharapkan apabila anak-anak mereka pulang sahaja dari kelas mengaji, maka mereka akan mencintai Al-Quran. Sebagai ibu bapa, sayogianya kitalah yang perlu mula terlebih dahulu mengaji Al-Quran di hadapan anak-anak. Setiap hari dapat satu muka surat pun sudah memadai kan?

Setiap tindakan kita akan ditiru oleh anak-anak kita. Baik tindak tanduk kita maka baiklah mereka. Namun buruk tindak tanduk kita maka mereka juga begitu.

Jika tak dapat nak membaca banyak ayat, sekurang-kurangnya ambil masa selepas solat Maghrib untuk mengaji di hadapan mereka. Tutup segala gajet dan akses kepada internet. Baca dengan tartil dan bertajwid di hadapan mereka. Lama-kelamaan mereka sendiri yang akan meniru kita dan duduk mengaji bersama kita.

Tak percaya? Cuba lah dahulu dan bagitau kami ye?

Perdengarkan Bacaan Al Quran Kepada Anak-Anak

Hari ini kita dapat lihat begitu banyak imam-imam, qori-qori, qori’ah-qori’ah yang tumbuh di media sosial. Tambahan pula ketika adik Farhatul Fairuzah yang telah memenangi tempat pertama dalam Majlis Tilawah Al Quran peringkat antarabangsa pada tahun 2019 yang lalu, maka semakin ramai ibu dan ayah yang terinspirasi untuk menghantar anak-anak mereka ke kelas-kelas Al-Quran.

Sebagai ibu bapa, kita boleh sahaja ambil beberapa minit untuk memasang bacaan Al-Quran daripada qori qoriah yang memiliki bacaan yang baik ini. Tidak perlu lama, sependek-pendek surah pun mungkin hanya sekadar 5 minit kan?

Mungkin ketika mula-mula naik kenderaan boleh pasangkan Al Fatihah, ketika hendak tidur boleh pasangkan Al Mulk, ketika hendak ke sekolah pasangkan Ayatul Kursi dan seterusnya. Gunakan kreativiti anda untuk menyusun waktu bila anda hendak memperdengarkan bacaan Al Quran kepada mereka. Semakin kerap maka semakin baik.

Berikan Ganjaran Apabila Anak Anda Selesai Membaca Al Quran

AQAR akui, mendidik anak kecil bukanlah suatu perkara yang mudah. Namun sebagai salah satu insiatif untuk buat anak anda cinta Al Quran ialah dengan memberikan mereka ganjaran apabila sudah selesai membaca Al Quran.

Anda tidak perlu membelikan barangan yang mahal-mahal. Cukuplah dengan memasak makanan kegemaran mereka, ataupun membelikan mereka sebatang cokelat bar bahkan sekiranya mereka khatam Al Quran dengan cepat maka anda hadiahkan sebuah Al Quran yang cantik kepada mereka.

Ceritakan Kelebihan Al Quran Sebagai Mukjizat Paling Agung

Kami kongsikan bonus satu tips untuk anda dan ketahuilah inilah yang paling penting sekali sebagai orang Islam, kita kena terapkan dari awal-awal lagi bahawa Al Quran merupakan mukjizat yang paling agung yang Allah telah kurniakan kepada ummat ini.

إِنَّ ٱلَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَـٰبَ ٱللَّهِ وَأَقَامُوا۟ ٱلصَّلَوٰةَ وَأَنفَقُوا۟ مِمَّا رَزَقْنَـٰهُمْ سِرًّۭا وَعَلَانِيَةًۭ يَرْجُونَ تِجَـٰرَةًۭ لَّن تَبُورَ ٢٩

Sesungguhnya orang-orang yang selalu membaca Kitab Allah dan tetap mendirikan sembahyang serta mendermakan dari apa yang Kami kurniakan kepada mereka, secara bersembunyi atau secara terbuka, mereka (dengan amalan yang demikian) mengharapkan sejenis perniagaan yang tidak akan mengalami kerugian; (Faatir; Ayat 29)

Apabila kita sentiasa memberikan peringatan kepada mereka tentang agungnya mukjizat Al Quran ini, bagaimana para salaf menghabiskan kebanyakan daripada masa mereka menghafaz dan membaca Al Quran, dan juga hadis-hadis daripada Rasulullah. Maka tidak mustahil Allah akan mengurniakan rasa cinta kepada Al Quran buat mereka.

Daripada Abdullah bin Mas’ud RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَن قَرَأَ حَرْفًا مِنْ كِتَابِ اللَّهِ فَلَهُ بِهِ حَسَنَةٌ ، وَالْحَسَنَةُ بِعَشْرِ أَمْثَالِهَا ، لَا أَقُوْلُ آلم حَرْفٌ ، وَلَكِنْ أَلِفٌ حَرْفٌ وَلَامٌ حَرْفٌ وَمِيْمٌ حَرْفٌ

Maksudnya: “Barangsiapa yang membaca satu huruf di dalam al-Quran maka baginya satu kebaikan dan setiap kebaikan itu digandakan menjadi sepuluh kebaikan yang semisal dengannya. Aku tidak mengatakan “الم” satu huruf akan tetapi Alif satu huruf, Laam satu huruf dan Miim satu huruf”. [Riwayat al-Tirmizi (2835)]

Semoga perkongsian AQAR untuk anda Didik Anak Cinta Al-Quran kali ini dapat memberikan manfaat buat anda semua. Terima kasih kerana sudi membaca.


Sekiranya anda suka dengan tips dari kami, jangan lupa untuk kongsikannya!

Kongsikan Penulisan Ini

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Scroll to Top