
Persoalan sering timbul tentang di antara ilmu tarannum dan ilmu tajwid, yang manakah yang patut dipelajari dan diajarkan terlebih dahulu?
Sebahagian masyarakat mempelajari seni tarannum dan mengabaikan ilmu tajwid manakala sebahagian lain menekuni ilmu tajwid tanpa disulami dengan ilmu tarannum.
Ketahuilah bahawa membaca Al-Quran secara bertajwid adalah Wajib, manakala mencantikkan suara ataupun dikenali sebagai ‘al-Taghanni bil Quran‘ atau ‘al-Tarannum bil Quran‘ itu adalah disunatkan.
Ini berdasarkan Firman Allah s.w.t:
أَوْ زِدْ عَلَيْهِ وَرَتِّلِ الْقُرْآنَ تَرْتِيلًا [73:4]
Maksudnya: “Ataupun lebihkan (sedikit) daripadanya; dan bacalah Al-Quran dengan “Tartil“.
Sabda Nabi s.a.w:
زَيِّنُوا القرآن بأَصوَاتِكم فإنَّ الصوتَ الحسنَ يزيدُ القرآنَ حُسنًا
Maksudnya: “Hiasilah Al-Quran dengan suara-suara kamu, sesungguhnya suara yang baik itu akan menambahkan kecantikan Al-Quran”
Mempelajari Ilmu Tajwid adalah termasuk di dalam tuntutan Fardhu Kifayah, manakala mempelajari ilmu tarannum pula adalah diharuskan di sisi sebahagian ulama sekiranya bertujuan untuk mencapai maksud mencantikkan suara di dalam bacaan dan bukannya untuk mempermain-mainkan Al-Quran.
Jelas bahawa tuntutan untuk mempelajari kaedah membaca Al-Quran yang betul yakni ilmu tajwid adalah lebih utama kedududakannya berbanding mempelajari seni tarannum.
Justeru, pilihan yang terbaik buat masyarakat ialah mempelajari ilmu tajwid dan menekuni cara bacaan yang betul dengan guru-guru yang mahir dalam bidang terlebih dahulu sebelum mendalami seni tarannum Al-Quran. Ini supaya seseorang itu dapat memiliki sifat bacaan yang mantap dan sempurna sebelum melangkah ke bidang tarannum Al-Quran.
Namun, tidaklah menjadi kesalahan bagi seseorang untuk mempelajari ilmu tajwid, bertalaqqi dan dalam masa yang sama mempelajari kemahiran tarannum Al-Quran di dalam bacaan mereka. Ini kerana bacaan Al-Quran yang bertajwid sudah tentunya dikira sebagai bacaan yang baik, manakala mengindahkan suara ketika membacanya sudah tentu akan menambahkan lagi kecantikan dan keindahan Al-Quran itu.
Wallahua’lam.
Dr. Anuar bin Hasin